Disclaimer

All personal images and contents on this page are copyrighted and the sole property of shustory.blogspot.com. No one is given permission to use any images from this blog without my written permission.

Thursday, June 3, 2010

Luahan rasa seorang bakal Isteri

Insyaallah, dalam beberapa jam lagi aku akan bergelar seorang isteri. Satu gelaran yang aku dambakan selama ini dan aku yakin keinginan bagi setiap perempuan. Untuk merasai diri kasihi dan dilindungi, disitulah tempatnya yang bernama Suami.

Ianya bukanlah satu perjalanan yang pendek untuk sampai ke peringkat ini. Pelbagai dugaan dan liku-liku yang harus kami lalui sepanjang 2 tahun tempoh pertunangan. Lebih-lebih lagi dia adalah warganegara asing. Bermula detik sebelum pertunangan, aku berusaha untuk mendapatkan restu keluarga akan pilihan aku. Dalam pada itu aku dihentam sehabis2nya oleh keluargaku, tapi aku yakinkan diri, Dia adalah pilihanku. Dan hingga detik ini, walaupun kami masih belum disatukan, ada antara mereka yang bersedia menepuk tangan menunggu berita perpisahan kami. Sedihnya, bukannya orang luar, tapi ahli keluarga sendiri.

Hati aku juga pernah diduga, tatkala aku mahu diperkenalkan kepada seseorang yang mana dalam fikiran ku, orang itu adalah orang yang baik2, tinggi ilmu agamnya serta mempunyai pekerjaan yang baik. Seorang yag aku fikir mampu membimbing dan membawa aku syurga yang aku dambakan. Dalam masa itu, hati aku berbelah bahagi. Hanya kepada tuhan aku mohon petunjuk dan kemudian aku yakin akan perjuanganku dalam sebuah perhubungan yang sedang dibina ini. Maka, tawaran itu ditolak.

Penundaan perkahwinan telah memberi tekanan kepada aku. Apabila rancangan disusun rapi tetapi segalanya terpaksa ditunda kerana masalah dokumen bagi pihaknya. Percubaan demi percubaan dilakukannya tetapi hasilnya gagal dan dalam masa yang sama banyak wang yang telah dikeluarkan untuk mendapatkannya. Orang keliling pula asyik bertanya bilakah majlis akan dilangsungkan. Lebih menambahkan tekanan. Sehingga aku ada terfikir untuk tidak mahu mengikut prosedur perkahwinan yang ditetapkan dinegara ini. Tidak mahu peduli dengan prosedur asalkan kami dapat dinikahkan. Islam menetapkan perkahwinan dengan cara yang paling mudah tetapi undang2 yang diciptakan manusia menyukarkan kami. Tegamakkah aku melukakan hati keluarga ku yang mengasihi dan menyayangi diri ini jika aku berbuat demikian. Tidak sama sekali, maka ditelan sahaja dan kami sedaya upaya untuk berkahwin mengikut cara yang sepatutnya.

Ada juga masalah itu datang daripada sikap aku sendiri yang terlalu berprasangka buruk terhadap dirinya, tidak mempercayai dirinya. Mendorong aku untuk bersikap dan bertindak tidak mengikut akal, terlalu menyibuk akan hal dia. Telinga ini selalu ditusukkan dengan nasihat orang-orang melayu, "Jangan percayakan lelaki (pasangan) 100%". Kerana kata2 ini, hidup aku jadi tidak tenteram kerana aku mencurigainya. Perasaan ini hampir2 membunuh perhubungan ini. Setelah pengalaman yang dilalui, perasaan curiga dan syak wasangka terhadap pasangan tidak boleh ada dalam diri jika mahukan keharmonian sesebuah perhubungan.

Sekali lagi kami diuji, apabila semua tersedia, masalah kewangan menghimpit kami. Bagaimana mahu meneruskan misi perkahwinan jika tiada duit. Desakan demi desakan daripada keluargaku tentang duit hantaran menyesakkan aku. Dia benar-benar menghadapi masalah kewangan, masakan dia mampu untuk membayar wang hantaran yang diminta. Untuk berterus terang tidak sama sekali. Aku tidak mahu bakal suamiku diperlekehkan. Apabila toleransi antara satu sama lain berperanan dengan baik, pasti jalan penyelesaian akan ditemukan.

Benarlah, kata-kata orang tua, "Jangan bertunang lama-lama, banyak dugaannya". Aku redha dengan dugaan yang diberikannya kerana dugaan itu benar-benar mematangkan aku, dan paling ketara ia benar-benar mendekatkan diri aku pada yang Maha Agung. Dalam setiap dugaan yang aku terima, aku selalu tekadkan dalam hati yang aku tidak mahu kalah dengan dugaan yang diberikan. Setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya. Jangan salah "Tiada Jodoh" dalam sesebuah perhubungan sebelum kita benar2 berusaha menyelesaikannya.

Bakal suami ku bukan orang yang sempurna, tidak berharta dan juga berpangkat. Dia hanya insan biasa yang punyai kekurangan dan kelebihannya sendiri. Dan itu yang aku lihat pada dirinya yang mana aku perlukan dia untuk melengkapkan kekurangan diri ini. Dia punyai karisma yang boleh menundukkan aku, bukan kerana aku takut padanya tetapi dia boleh membuat aku menghormati dirinya yang bakal menjadi ketua keluargaku. Dan dia perlukan aku untuk memberi kekuatan dan dorongan dalam meneruskan sebuah kehidupan diperantauan. Kami saling memerlukan. Aku memohon agar Dia adalah lelaki yang akan membawa aku ke Syurga Allah.

Alhamdulillah, berkat kesabaran dan ketabahan yang dikurniakan oleh Nya serta doa yang dipohon padaNya tanpa henti-henti, Insyaallah, kami hampir ke situ. Selepas ini, bermulalah sebuah kehidupan dan aku tidak boleh toleh kebelakang lagi. Ya Allah, kuatkanlah hati hambamu ini dalam meneruskan kehidupan mendatang dan membina sebuah generasi berlandaskan suruhan-Mu.

3 comments:

  1. semoga destinasi perkahwinan jadi milik shue seadanya bersama tunang tersayang.amin

    smeoga dipermudahkan allah selalu

    ReplyDelete
  2. Thanks, Alhamdulillah, sue kini sudah bergelar isteri.

    ReplyDelete